Dalam 10 malam terakhir Ramadan ini, pasti ramai di antara kita ingin membuat banyak amal kebaikan dan beribadah untuk mendapatkan Lailatul Qadar.

 

Abu Aufa@AzlinMuhammad

“Kalau kita ‘uzur’ pada 10 terakhir Ramadhan, apa yang kita boleh buat untuk mendapatkan Lailatul Qadar?”

Jangan risau wahai golongan wanita.

Walaupun anda tidak dapat puasa, solat dan membaca Al-Quran pada 10 akhir Ramadhan, masih banyak amal kebaikan yang boleh dimanfaatkan.

Seorang pengguna laman Twitter, @AzlinMuhammad, berkongsi beberapa tips bagi golongan wanita yang ‘uzur’ atau sedang haid untuk melakukan amal kebaikan yang boleh dimanfaatkan walaupun tidak boleh membaca al-Quran, puasa dan solat pada 10 malam terakhir Ramadan:

1. Sediakan makanan berbuka

Boleh sediakan untuk sesiapa sahaja. Masak dan sediakan untuk ahli keluarga sendiri pun dah dapat pahala orang yang berpuasa dah.

Kalau tak sempat masak. Boleh beli sahaja. Berikan untuk orang lain berbuka puasa.

2. Sediakan sahur

Selain mendapat pahala memberi makan orang lain, ia juga memberi peluang untuk turut menghidupkan waktu sahur dengan qiyamullail.

Qiyamullail tak semestinya solat. Boleh dalam bentuk zikir, istighfar dan doa. Doa banyak-banyak, waktu mustajab ni.

3. Jauhi larangan agama

Jangan kerana tidak puasa, terus lalui hari 10 terakhir Ramadhan dengan perkara yang lalai dan sia-sia.

Manfaatkan masa dengan kebaikan. Jaga mata, jaga telinga, jaga mulut dan jaga anggota badan daripada perkara yang dilarang.

4. Banyakkan berdoa & berzikir

Sepanjang bulan Ramadhan adalah waktu mustajab berdoa.

Lebih-lebih ketika waktu berbuka, waktu bersahur dan 1/3 malam. Sambil-sambil tolong siapkan makanan tu, banyakkan berdoa.

5. Ingatkan ahli keluarga kepada kebaikan

Ingatkan ahli keluarga yang lelaki supaya solat fardhu dan solat terawih berjemaah di masjid.

Jika ada ahli keluarga dalam kalangan anak kecil, tolong jagakan. Mudahkan ahli-ahli keluarga lain untuk beribadat.

6. Sibukkan diri dengan menuntut ilmu

Manfaatkan masa dengan menghadiri majlis ilmu, mendengar ceramah agama, membaca buku ilmiah, mendengar bacaaan Al-Quran, membaca tafsir Al-Quran dan sebagainya.

Yang penting, dapat menambahkan amal kebajikan dan manfaat buat diri.

7. Banyakkan sedekah & menderma

Nabi ﷺ sendiri menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadhan. Rebutkan pahala berlipat kali ganda di bulan Ramadhan dengan bersedekah.

Lebih-lebih lagi pada 10 malam terakhir Ramadhan. Perbanyakkan sedekah.

Sumber: Twitter @AzlinMuhammad